Rakun merupakan spesies mamalia yang berasal dari Amerika Utara. Di sesetengah negara, rakun dianggap sebagai haiwan perosak sekali gus membuatkan manusia cenderung untuk membunuh haiwan liar ini. Namun, pasti ramai yang akan berubah fikiran setelah melihat keletah anak rakun comel yang dipelihara oleh seekor anjing betina.
Menerusi video berdurasi 4 minit 16 saat yang dikongsikan oleh SBS TV di Facebook, kelihatan seekor anak rakun yang dinamakan Updoong sentiasa mengekori ‘ibunya’ iaitu Kaeul.
Menurut penjaga Kaeul dan Updoong, pertama kali dia menemui anak rakun itu adalah apabila dia terdengar tangisan halus di kawasan rumahnya. Pada ketika itu, Updoong hanyalah sebesar ibu jarinya sahaja!
“Updoong menangis mungkin kerana tidak dapat menemui ibunya. Saiz Updoong cuma sebesar ibu jari saya sahaja”.
Memandangkan cuaca ketika itu hujan, Kaeul yang mempunyai naluri keibuan telah mengambil keputusan untuk membawa Updoong pulang ke rumah lantas menyusukan anak rakun itu. Meskipun berlainan spesies, Kaeul tetap memberikan yang terbaik bagi memastikan anak rakun itu terus hidup dengan sihat.
Lama-kelamaan, Kaeul sudah menganggap Updoong seperti anak kandungnya sendiri dan kedua-dua pasangan duo ini kelihatan sering meluangkan masa bersama dan enggan berenggang!
“Kaeul sudah mengganggap Updoong seperti anaknya sendiri. Kaeul tidak pernah berjauhan dengan Updoong. Apabila Updoong dibuli oleh kucing lain, Kaeul akan datang untuk menyelamatkan anaknya itu”.
Selain itu, Updoong yang jinak turut dibenarkan untuk hidup bebas bersama anak-anak Kaeul yang lain. Kesemua haiwan ini menikmati makanan bersama-sama dan Updoong kelihatan amat menyukai makanan anjing yang diberikan oleh tuannya.
Pada waktu petang pula, Updoong akan mengikuti ibu angkatnya bersiar-siar bersama tuan mereka. Peristiwa ini membuat ramai yang menganggap Updoong ibarat seekor anak anjing dan bukannya seekor rakun.
Sehinggalah pada suatu hari, Kaeul secara tiba-tiba menyalak tanpa henti. Ketika itu, mereka menyedari bahawa Updoong telah menghilangkan diri. Puas tuannya mencari Updoong di celahan pokok bunga namun tetap tidak ditemui. Kehilangan Updoong membuatkan Kaeul menjadi resah. Anjing itu turut berusaha membantu tuannya mencari Updoong di sekitar kawasan rumah. Setelah beberapa ketika, barulah kelibat Updoong muncul dan kejadian tersebut membuatkan si pemilik sedar bahawa sudah tiba masanya untuk dia melepaskan Updoong ke habitat asalnya dan belajar untuk menjalani kehidupan sebenar sebagai rakun.
“Saya rasa Updoong sudah mula memperluaskan kawasannya. Dahulu Updoong hanya bermain di sekitar rumah tetapi hari ini Updoong sudah mula merayau jauh ke belakang rumah”.
Jadi, Updoong mula didedahkan dengan pelbagai kemahiran lain seperti memburu ikan untuk mendapatkan makanan dan merayau ke dalam kawasan semak. Pemiliknya turut berjanji untuk melatih Updoong dengan kehidupan liar supaya haiwan itu mampu hidup di habitat asal tanpa sebarang masalah.
Tidak lama lagi, Updoong akan dilepaskan bebas ke dalam hutan dan keadaan ini pasti akan membuatkan Kaeul berasa sedih. Ikatan perhubungan antara kedua-dua haiwan ini sungguh kuat meskipun berlainan spesies. Peristiwa ini membuktikan bahawa haiwan juga memiliki sifat empati dan saling mengasihi sama seperti manusia lain.
Source : Nepalivibes
Source : Nepalivibes









No comments:
Post a Comment