Kata orang definisi cantik itu memang subjektif. Setiap orang punya kriteria tersendiri untuk memberi makna kepada ‘cantik’. Ada yang mengatakan kulit putih itu cantik. Namun, ramai juga yang mengatakan cantik itu datangnya dari dalam diri sendiri.
Gadis cantik berketurunan Sudan bernama Anok Yai ini nampaknya punya tuah yang tersendiri apabila kehadirannya di sebuah majlis di Universiti Howard telah membuka sebuah lembaran baharu buatnya. Dia tidak pernah menyangka bahawa gambarnya yang diambil di dalam majlis tersebut akhirnya membuatkannya terkenal dengan sekelip mata.
Walaupun baginya dia tidak cantik di dalam gambar tersebut namun puluhan ribu orang yang lain berpendapat dia sememangnya sangat cantik! Gambar tersebut telah membuatkan gadis kelahiran Mesir ini dihujani dengan bermacam panggilan dari pelbagai agensi permodelan sehingga ada yang sanggup terbang dari New York untuk menemu bualnya. Bercerita mengenai latar belakangnya, Yai telah menetap di Amerika Syarikat bersama keluarganya sejak dia berusia dua tahun lagi. Sewaktu kecil, dia dan kakaknya sangat gemar menonton rancangan televisyen “America’s Next Top Model” yang diacarakan oleh model terkenal Tyra Banks namun dia tidak pernah berangan-angan untuk menjadi seorang model hanya kerana kulitnya tidak sama dengan model-model yang lain.
Ramai yang mengatakan bahawa dia seorang gadis yang cantik dan sesuai untuk menjadi model tetapi dia berfikiran sebaliknya kerana dia tidak mempunyai kulit yang putih dan cerah seperti model-model lain. Yai kemudiannya memutuskan untuk melanjutkan pelajaran ke Plymouth State University di New Hampshire dalam jurusan biokimia dan dia bercita-cita untuk menjadi seorang doktor. Walau bagaimanapun, Yai mula mendapat perhatian umum apabila gambarnya diambil oleh seorang jurugambar, Steve Hall ketika menghadiri sebuah majlis ‘homecoming’ di Universiti Howard. Ketika itu dia hanya mahu memenuhi undangan kawannya. Yai memakai seluar jeans pendek bersama baju hitam jarang. Yai sedar dia telah membuat pilihan yang tepat apabila dia melangkah masuk ke YardFest dan mendapat pujian daripada orang yang tidak dikenalinya.
“Saya tidak fikir ada sesiapa yang akan melihat saya,” katanya. “Saya melihat gadis-gadis lain dan mereka memakai pakaian yang bagus.” Menurut Hall pula, dia sangat tertarik untuk mengambil gambar sepanjang majlis tersebut yang penuh dengan warna-warni, fesyen, kebudayaan dan kecantikan. Dia mahu mendokumentasikan suasana di majlis tersebut memandangkan dia juga merupakan alumni universiti tersebut. Hall kemudian memuat naik gambar-gambar yang diambilnya ke Instagram pada keesokan harinya dan sejak itu gambar Yai menerima ‘like’. Sehingga kini gambar gadis cantik itu telah menerima lebih daripada 40,000 ‘like’. Sejak itu juga telefon Yai sering berdering sedangkan dia sendiri tidak tahu apa puncanya. Setelah melihat Instagram tersebut barulah dia tahu akan sebabnya. “Apabila ia sampai kepada beberapa ribu ‘like’ dan ia hanya terus meningkat membuatkan saya terkejut. Dan saya gembira. Saya selalu mahu hal itu berlaku, tetapi ia adalah sesuatu yang saya tidak pernah dijangka. “ “Saya mendapat email dari agensi permodelan,” katanya. “Mereka berkata mereka berminat dengan saya dan pelbagai temu bual mula dilakukan. Sejak itulah semuanya bermula,”
Apa yang menariknya ada agensi yang sanggup menerbangkannya ke pejabat mereka, sama seperti yang Yai lihat di dalam rancangan “America’s Next Top Model” ! Minggu pertamanya dengan kehidupan yang baharu agak menyukarkan tetapi adakala ianya juga menyeronokkan. Ketika dia baharu berusia 19 tahun, dia sudah perlu untuk membuat keputusan yang besar. Ketika dia sibuk dengan kelasnya, dia juga perlu menghadiri beberapa wawancara. Yai walau bagaimanapun agak gementar kerana dia hanyalah seorang gadis biasa yang berubah menjadi seorang model Instagram yang sangat terkenal. Dia bimbang jika dia tidak dapat memenuhi harapan orang ramai terhadapnya. Dalam masa yang sama, ibunya juga mahukan dia menghabiskan pengajiannya dan dia pula tidak mahu melepaskan peluang untuk menjadi seorang model.
Apa yang membuatkannya kuat ialah dengan menerima komen dan pandangan daripada orang ramai yang mengatakan dia adalah inspirasi buat orang lain. Ramai yang menghantar mesej di Instagram memberi kata-kata positif kepadanya. Ada yang mengatakan, ” Anda adalah inspirasi kepada gadis-gadis untuk percaya kepada diri sendiri,” dan ada juga yang mengatakan, “Pelbagai kesempurnaan… Saya harap saya melihat lebih ramai gadis berkulit gelap yang berkeyakinan. “ “Ketika saya masih muda, saya sangat tidak senang dengan warna kulit saya,” katanya. “Apa yang saya lihat adalah kanak-kanak perempuan berkulit putih yang ada di dalam media. Sekarang, saya boleh bercakap mengenai topik tertentu dan ada orang yang pasti akan mendengarnya.”
Yai pastinya sangat bangga dengan pencapaiannya. Tiada siapa yang menyangka hanya kerana gambar yang diambil di sebuah majlis ‘homecoming’ telah membuatkannya bukan sahaja terkenal tetapi menjadi inspirasi kepada orang lain!
Source : Nepalivibes

No comments:
Post a Comment