Tuesday, October 29, 2019

Senyuman terakhir seekor cimpanzi berusia 59 tahun apabila dipertemukan dengan rakan lamanya

Setiap manusia dicipta untuk mempunyai perasaan sama ada kasih sayang, cemburu, marah, sedih dan sebagainya. Ia adalah satu lumrah untuk memiliki perasaan-perasaan ini. Tetapi, bukan hanya manusia yang diciptakan untuk mempunyai perasaan tetapi haiwan juga sama. Jika kita melakukan sesuatu yang murni kepada haiwan, maka mereka juga akan memahaminya dan membalas jasa baik yang telah anda taburkan. Sebagai bukti, dalam satu video yang tular di Instagram baru-baru ini, memaparkan seekor cimpanzi betina yang sudah uzur dan hampir mati. Cimpanzi yang dinamakan sebagai Mama ini dikatakan telah berusia 59 tahun dan merupakan monyet tertua di dalam koloninya!
Menerusi video berdurasi 3 minit 27 saat yang dimuatnaik oleh @officialmemeology itu memaparkan dengan jelas tentang keadaan Mama yang sedang sakit dan semakin lemah. Namun, segalanya berubah apabila Mama dipertemukan dengan seseorang yang dikenalinya semasa Mama masih kecil.
Pada awalnya, Mama kelihatan hanya terbaring lemah dan tidak mempunyai selera untuk makan mahupun minum. Seolah-olah tahu ajalnya hampir tiba, Mama kelihatan pasrah menerima ketentuan takdir dan melihat keadaannya sebegitu rupa membuatkan semua orang turut merasai keperitan yang sedang ditanggung oleh Mama pada ketika itu.
Bagaimanapun, Mama menunjukkan reaksi yang sangat mengejutkan apabila diziarahi oleh seorang rakan lama yang sangat menyayanginya suatu ketika dahulu. Lelaki itu adalah Profesor Jan van Hooff yang pernah menjaga dan membesarkan Mama sekitar tahun 1972. Sebaik sahaja mendengar khabar mengenai keadaan Mama, Jan terus berangkat untuk melawat cimpanzi itu.
Pada awalnya Mama langsung tidak mengenali susuk tubuh lelaki yang tidak jemu membelai tubuhnya itu namun lama-kelamaan, Mama yang lemah terus mengangkat kepalanya sambil mengukirkan senyuman paling manis kepada Jan. Lebih mengharukan lagi, Mama turut mengangkat tangannya untuk bersalaman sambil matanya tepat memandang Jan. Melihat Jan hadir melawatnya membuatkan Mama melupakan segala kesakitan yang sedang ditanggungnya pada waktu itu.
Mama turut mengusap-usap rambut dan dagu Jan dengan tangannya dan anda juga boleh lihat dengan jelas betapa cerianya Mama pada ketika itu. Apa yang membuatkan peristiwa ini menjadi lebih istimewa adalah apabila Mama turut menerima makanan yang disuapkan oleh Jan ke dalam mulutnya.
Mereka saling berpelukan, memberikan ciuman dan membelai antara satu sama lain seperti dua rakan karib yang telah terpisah buat sekian lamanya. Setelah beberapa minit beramah mesra, Mama kelihatan kembali lemah dan keletihan. Mama terus terbaring sambil belakangnya diusap oleh Jan tanpa henti. Akhirnya, buat beberapa minit terakhir dalam hidup Mama, cimpanzi ini berpeluang untuk menikmati satu detik terindah dalam hidupnya. Senyuman manis yang Mama ukirkan membuktikan kewujudan cinta dan kasih yang jitu terjalin di antara kedua-duanya. Peristiwa yang sungguh menyentuh perasaan.
Mama menjadi contoh terbaik buat kita semua untuk sentiasa mempunyai sikap berperikemanusiaan terhadap haiwan dan menyayangi semua makhluk ciptaan Tuhan dengan adil dan saksama. Video
Source : Nepalivibes
Next Page
1 2 3

No comments:

Post a Comment